...

Sunday, May 30, 2010

BILA SANG BUNIAN MULA BERBICARA (Part2)

Pagi itu,bertemankan keluarganya Shasha pergi membuat laporan polis. Sudah semalaman Shasha tidak tidur kerana memikirkan keadaan suaminya. Hatinya tidak keruan lagi. Air matanya asyik mengalir sejak dari semalam lagi. Dia terlalu memikirkan suaminya. Tambahan pula bila mengenangkan anak dalam kandungannya sudah berusia 7 bulan. Ayah Shasha cuba menenangkan perasaannya. Ayahnya bimbang keadaan Shasha sebegitu boleh memberikan kesan negetif kepada bayi dalam kandungannya.

“Sabarlah nak. Tidak ke mana Azmi tu. Dia ada..mungkin tengah tenangkan fikirannya.” Pujuk ayah Shasa.

“Tapi ayah,saya dah telefon Abang Azmi semalam,dia beritahu dalam perjalanan. Mustahil dia akan merajuk pula. Saya tahu perangai Abang Azmi tu.” Balas Shasha sambil menangis. Ayahnya sudah kematian ayat. Dia memang kenal sangat dengan perangai anak perempuannya ini. Susah untuk di pujuk. Tetapi,hanya ada seorang insan yang mampu memujuknya,iaitu Azmi. Suami anaknya itu.

“Sha,ayah tahu sha sedang bersedih dengan kehilangan Azmi. Tapi tolonglah,jangan buat macam ni. Kasihankanlah anak dalam kandungan tu. Kalau Azmi ada sekarang ni pun,dia pasti tidak suka jika Sha buat macam ni..”

“Dah,ikut ayah dan emak pergi makan.”

“Tapi ayah..”

“Lepas makan, kita datang lagi.” Kata Emaknya pula. Dia lantas menarik tangan anaknya. Dia memeluk anak kesayangannya itu. Dikucup dahi anaknya bagi menenangkan perasaan anaknya itu. Itulah satu-satu anak mereka di dunia ini. Mereka tidak sanggup biarkan Shasha terus dalam keadaan begini. Shasha mengikut mereka berdua dari belakang. Dia sebenarnya tiada selera untuk makan. Tetapi selepas memikirkan anak dalam kandungannya ini,dia gagahi jua untuk makan.

* * * * * * * * * * * * *

Azmi membuka mata. Matanya melilau memandang sekeliling . Terasa bagaikan berada di tempat asing. Tiba-tiba terdengar satu suara yang menegurnya.

“Orang muda,dah tersedar?” Tanya seorang lelaki tua. Azmi cuma terdiam dan memandang orang tua itu dengan seribu tanda tanya. Azmi tidak kenal orang tua itu. Siapa dia?

“Pak cik ni siapa?” Tanya Azmi. Tanpa menjawab pertanyaan Azmi,orang tua itu cuma tersenyum sambil menepuk-nepuk bahu Azmi.

“Orang muda jangan takut. Pak cik bukan orang jahat. Pak cik nak tolong. Dah lupa dengan apa yang terjadi?”

Azmi terdiam. Lantas cuba mengingati segala kejadian yang telah berlaku. Masih segar dalam ingatannya,malam kejadian itu hujan telah turun dengan lebatnya. Kerana disebabkan pandangan mata yang agak terbatas,Azmi hampir terlanggar seorang perempuan tua. Dan keretanya terjunam ke dalam gaung.

“Saya kemalangan. Saya hampir terlanggar seorang perempuan tua dan kereta saya terjunam ke dalam gaung pak cik.” Terang Azmi kepada orang tua itu. Sambil tersenyum pak cik itu menjawab.

“Perempuan tua tu mak cik Anggerik. Masa tu dia nak melintas jalan untuk pulang ke rumah. Dia lah yang panggil pak cik untuk datang melihat orang muda yang terjatuh ke gaung itu.” Katanya sambil tersenyum lagi. Terdengar bunyi derap kaki menghampiri tempat Azmi dan pak cik berborak. Lantas matanya dapat menangkap kelibat seorang gadis yang sedang membawa sedulang air minuman.

“Ni airnya pak.” Kata gadis itu sambil tersenyum sipu. Hati kecil Azmi terasa berdebar-debar. Dugup jantungnya semakin kencang. Tidak dinafikan,gadis itu sangat cantik dan mampu meruntuhkan iman setiap lelaki. Hati Azmi seakan tertanya-tanya siapakah gadis cantik yang sedang berada di hadapannya ini.

“Ini anak pak cik. Namanya Cempaka.” Terang orang tua itu pada Azmi. Azmi terkejut kerana orang tua itu bagaikan boleh membaca fikirannya.

“Dan nama pak cik pula Gendara.” Kata orang tua itu lanjut.

“Gendara??” Tanya Azmi secara spontan. Azmi tertanya-tanya,kenapa semua orang di sini bernama pelik. Dan seakan-akan dia terdampar di zaman yang lain. Zaman yang pelik dan penuh misteri.

“Orang muda lihat-lihatlah dulu kawasan persekitaran kampung pak cik ini.” Kata orang tua itu lembut.

“Cempaka,temankan orang muda ini melihat kawasan kampung kita.”kata orang tua itu lanjut. Azmi hanya mampu mengangguk. Dia masih tertanya-tanya. Banyak pertanyaan yang ingin dia luahkan pada orang tua itu,tetapi tidak terluah.

“Saudara,ikut cempaka. Nanti cempaka bawa saudara melihat-lihat kawasan sekitar kampung.” Ajak cempaka sambil tersenyum pada Azmi.


DAENG..

1 comment:

Sari Dahlia said...

pas ni...x yah jadi pengarah. wat novel...ja. hantar kar FF.